top of page
Search
  • Writer's pictureTawasaw

Al-Battani, Bapa Trigonometri

Updated: Jun 17, 2022

Pernahkah anda tertanya-tanya di mana sebenarnya kita patut mengaplikasikan konsep trigonometri yang kita pelajari di sekolah dan bagaimana ia memberi pengaruh kepada kajian sains khususnya astronomi? Ketahuilah bahawa Al-Battani, iaitu seorang ahli astronomi Islam secara langsung terlibat dalam matematik trigonometri yang kita pelajari pada hari ini. Bagi anda yang tidak tahu, konsep trigonometri sebenarnya sangat berguna dalam bidang astronomi. Mari kita sama-sama mempelajari sedikit sebanyak penglibatan Al-Battani dalam bidang astronomi dan matematik.



Nama: Abu Abdallah Muhammad Ibn Jabir Ibn Sinan Al-Raqqi Al-Harran As-Sabi Al-Battani

Gelaran: Albategnius, Albategni, Albatenius

Tarikh Lahir: sekitar 858 masihi di Harran, Mesopotamia (berdekatan Urfa). Sekarang ialah Turkey

Tarikh Wafat: Tarikh meninggal: 929 masihi di Qasr al-Jiss, Iraq

Bidang: Astronomi, matematik


Latar Belakang

Beliau lahir dalam keluarga Sabian yang merupakan penyembah bintang. Namun, Al-Battani ialah seorang muslim apabila dilihat kepada namanya iaitu Muhammad dan gelarannya Abu

Abdullah. Ayahnya, Jabir Ibn Sinan al-Harrani, merupakan seorang yang terkenal dalam seni pembuatannya di Harran. Oleh itu, al-Battani dianggap mempelajari seni pembuatan daripada ayahnya kerana beliau sendiri mahir dalam mencipta alatan astronomi.

Kitab Al-Zij al-Sabi

Al-Battani mendapat gelaran “Ptolemaeus Arab” kerana kehebatannya dalam bidang astronomi yang seakan sama dengan Claudius Ptolemaeus. Karya terulung beliau adalah Kitab al-Zij atau dikenali juga sebagai Al-Zij al-Sabi, yang terdiri daripada 57 bab dan mengandungi pelbagai perbahasan tentang astronomi, matematik dan geometri termasuklah astrologi. Dalam kitab tersebut, beliau telah mengkatagalogkan 489 bintang, mengira tempoh masa dalam setahun dengan lebih tepat daripada Ptolemy, mencipta formula trigonometri dan banyak lagi. Kitab ini telah diterjemah ke dalam Bahasa Latin sebagai De motu stellarum sebelum diterjemah ke dalam Bahasa Sepanyol, dan ia masih wujud sehingga sekarang.



Al-Battani banyak memberi motivasi supaya mempelopori kajian trigonometri. Beliau menggalakkan orang lain supaya meneruskan kajian dalam bidang tersebut bagi memastikannya terus berkembang. Pada abad seterusnya, lahir cendekiawan yang lain seperti Abu al-Wafa’, al-Biruni dan al-Tusi yang menyambung kajian trigonometri beliau.



Sumbangan

Al-Battani telah menciptakan pelbagai penemuan ilmiah dalam bidang astronomi, matematik (trigonometri, algebra, geometri), dan geografi

Matematik

Sumbangan Al-Battani dalam bidang matematik yang paling masyhur ialah konsep trigonometri, sehingga beliau dinamakan sebagai Bapa Trigonometri. Al-Battani telah melakukan pembaikan dan memberi solusi penting dalam masalah yang berhubungan dengan matematik trigonometri (spherical trigonometry).



Fungsi sinus dan kosinus amat penting dalam al-zij iaitu carta bintang untuk mengira kedudukan objek samawi, kerana semua al-zij mengandungi jadual trigonometri. Selain itu, Al-Battani juga merupakan orang pertama yang menghasilkan jadual kotangen untuk digunakan bagi tujuan pengukuran bintang di mana ia merupakan kaedah yang lebih tepat dan praktikal daripada cara pengukuran ilmuwan Yunani sebelumnya. Berdasarkan teori tangen dan kotangen al-Battani, pengukuran bintang menjadi lebih praktikal kerana ilmu matematik itu sendiri banyak memberi sumbangan dalam bidang astronomi.


Astronomi

Al-Battani merupakan ahli astronomi Islam yang sangat terkenal dan kehebatan sumbangan beliau telah menyebabkan beliau memperoleh gelaran “Ptolemaeus Arab”.


Sumbangan utama beliau dalam bidang astronomi adalah melalui karya taqwim beliau yang berjudul Kitab al-Zij. Kitab ini merupakan sebuah karya penulisan kritis yang memperbetulkan kesalahan-kesalahan yang terdapat dalam taqwim lain pada zaman itu.


Ptolemy, seorang ahli astronomi Yunani yang menghasilkan Almagest, menghitung panjang tahun matahari sebagai 365 hari, 5 jam, 55 minit dan 12 saat. Al-Battani membuat pengiraan baru berdasarkan tahun matahari untuk panjang tahun sebagai 365 hari, 5 jam, 46 minit dan 24 saat.


Beliau turut mengemukakan kaedah pengukuran bintang di cakerawala dengan menggunakan garis lengkuk.14 Sebelum ini, para saintis Yunani telah menggunakan tali sebagai kaedah pengukuran bintang . Kaedah pengukuran oleh Al-Battani didapati lebih tepat dan praktikal kerana beliau menggunakan teori tangen dan kotangen yang ditemuinya. Ia mampu memperbaiki beberapa hasil Ptolemy dan menyusun rajah baru daripada matahari dan bulan. Al-Battani menemukan kembali bahwa arah Matahari berubah.


Karya

  • Kitāb az-Zīj

  • Kitāb az-Zīj aṣ-Ṣābi’

  • Arbaʻu Maqālāt

  • Maʻrifat Maṭāliʻi l-Burūj

  • Kitāb fī Miqdār al-Ittiṣālāt

  • Kitāb taḥqīq aqdār al-ittiṣālāt bi-ḥasab ʿurūḍ al-kawākib


Fakta menarik

Menurut Ibn al-Nadīm, Battānī menetap di Baghdad dalam masa beberapa tahun di akhir hayatnya. Ini kerana berlakunya kesulitan kewangan yang berpunca daripada urusan dengan keluarga Banū al-Zayyāt (mungkin keturunan penyair dan wazir terkenal ʿAbd al‐ Malik ibn Abān al‐Zayyāt) di Raqqa. Dalam perjalanan pulang ke Raqqa, Battānī meninggal dunia di istana Qaṣr al‐Jaṣṣ dekat Samarra, 100 km ke utara Baghdad.




 

Rujukan

  1. Shuriye, A. O., & Faris, W. F. (2011). Contributions of early muslim scientists to engineering sciences and related studies. IIUM Press.

  2. Ikbal, M. S. (2015). Reassessment of Islamic astronomical sciences. American Journal of Engineering Research, 4(8), 98-103.

  3. Thomas Hockey et al. (eds.). The Biographical Encyclopedia of Astronomers, Springer Reference. New York: Springer, 2007, pp. 101-103


7 views0 comments

Commentaires


bottom of page