top of page
Search
  • Writer's pictureTawasaw

Ibn Al-Haytham, Tokoh yang Menerangkan Bagaimana Kita Melihat


Tahukah anda, orang Yunani kuno percaya bahawa mata memancarkan cahaya yang menyebabkan manusia boleh melihat? Namun, kepercayaan ini telah terbukti salah apabila Ibn al-Haytham, seorang ahli matematik dan fizik Islam yang hidup pada abad ke-10 menyatakan bahawa cahayalah yang memasuki mata. Ibn al-Haytham? Macam pernah dengar, bukan? Oleh itu, mari kita kenali dengan lebih mendalam mengenai figura ini.


Nama: Abu ‘Ali al-Hasan ibn al-Hasan ibn al-Haytham

Gelaran: Al-Haytham, Alhazen

Tarikh Lahir: Sekitar tahun 965M di Basrah

Tarikh Wafat: Sekitar tahun 1039M di Kaherah

Bidang: Fizik, Optik, Matematik, Astronomi, Perubatan



Latar Belakang

Ibn al-Haytham dikenali di Barat sebagai Alhazen. Selain itu, beliau turut dikenali sebagai Al-Basri kerana beliau dilahirkan di Basrah, Iraq. Beliau juga terkenal dengan gelaran Bapa Optik Moden (Father of Modern Optics) kerana sumbangannya yang sangat signifikan dalam bidang fizik optik dan kaedah saintifik.


Ibn al-Haytham hidup semasa zaman tamadun awal Islam. Ia adalah zaman perkembangan ilmu dari selatan Andalus (Sepanyol) ke China. Di Basrah, misalnya, terdapat perpustakaan yang menyimpan lebih daripada 15,000 buah buku termasuk karya-karya kuno yang diterjemahkan ke dalam bahasa Arab. Ibn al-Haytham mendapat pendidikan awal di Basrah dan Baghdad.


Pada abad ke-11, Ibn al-Haytham telah dijemput ke Mesir untuk membantu membina empangan di Sungai Nil. Selepas mengadakan lawatan lapangan, beliau enggan meneruskan projek itu atas faktor-faktor tertentu. Oleh itu, beliau ditahan di Mesir sehingga kematian al-Hakim, Khalifah Fatimiyyah Mesir pada tahun 1021.


Penemuan agung

Semasa di Mesir, Ibn al-Haytham menumpukan kecenderungannya dalam memahami cahaya dan penglihatan. Pada waktu itu, beliau telah membuat satu penemuan saintifik yang agung. Semasa duduk di dalam bilik tahanan yang gelap, beliau melihat cahaya terang di dinding yang merupakan imej objek di luar biliknya.


Berikutan pemerhatian dari bilik gelapnya, Ibn al-Haytham membuat lebih banyak eksperimen dan memahami bahawa cahaya dipancarkan dari objek di luar, masuk melalui lubang di dinding bilik dan menghasilkan imej. Beliau membuat perbandingan fenomena ini dengan mata manusia – bilik gelap itu seperti mata dan begitulah manusia melihat. Sehubungan dengan itu, beliau meneliti dengan lebih lanjut bagi memahami sepenuhnya bagaimana mata kita berfungsi.


Demikian itu, Ibn al-Haytam merupakan orang pertama yang dapat memperincikan proses penglihatan mata melalui pemerhatiannya tentang cahaya yang memasuki bilik gelap. Selain itu, beliau juga telah membuat sumbangan besar dalam pelbagai bidang seperti matematik, astronomi dan perubatan serta menulis ulasan terhadap karya-karya Aristotle, Ptolemy dan Euclid.

Beliau juga telah menetapkan piawaian baharu dalam sains eksperimen dan menghasilkan karya agung yang sangat berpengaruh iaitu Kitab al-Manazir (Book of Optics) sekitar tahun 1027M. Metodologi kajiannya iaitu penggunaan eksperimen untuk mengesahkan teori menunjukkan persamaan dengan kaedah saintifik moden pada hari ini.


Beliau telah mengarang sekurang-kurangnya 96 buah buku termasuklah Kitab al-Manazir yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin, sekali gus menyampaikan pengetahuan berharga kepada saintis yang memimpin zaman Renaissance Eropah. Dalam karyanya yang ditulis antara tahun 1011 dan 1027 semasa di Mesir ini, beliau telah mengetengahkan idea-idea baharu tentang cahaya dan penglihatan.


Sumbangan Ibn al-Haytham merangkumi pelbagai bidang, antaranya:

Bidang Optik

Ibn al-Haytham mengkaji mengenai anatomi mata dan turut menamakan bahagian penting darinya. Lakaran sistem penglihatan manusia dalam Rajah 1 adalah berdasarkan lukisan asal daripada Kitab al-Manazir yang menunjukkan bagaimana mata dihubungkan ke otak. Beliau telah menolak teori Ptolemy dan Euclid yang mengatakan bahawa manusia melihat objek melalui pancaran cahaya yang keluar dari matanya.


Rajah 1: Rajah mata Ibn al-Haytham daripada Kitab al-Manazir.


Beliau telah membuat eksperimen di bilik gelap yang dipanggil Al-Beit Al-Muzlim. Bilik gelap itu dikenali sebagai kamera obscura. Berdasarkan eksperimennya, cahaya yang memasuki melalui lubang kecil memaparkan imej dunia luar kepada dinding gelap yang bertentangan dengan lubang ini. Eksperimen ini secara tidak langsung menerangkan bagaimana kita dapat melihat dan sekali gus menghasilkan teknologi kamera yang pertama di dunia.


Gambaran Ibn al-Haytham menjalankan eksperimen bagi membuktikan bahawa kita dapat melihat kerana cahaya daripada objek bergerak dalam satu garis lurus memasuki mata kita.


Bidang Fizik

Ibn al-Haytham mengkaji bagaimana cahaya bergerak dan menjalankan ujian menggunakan kanta dan cermin. Selain itu, beliau turut mengkaji tentang pantulan dan pembiasan cahaya yang akhirnya menghasilkan kesimpulan bahawa cahaya terbias apabila ia bergerak melalui medium yang berbeza.


Di samping itu, Ibn al-Haytham telah menggunakan mesin lathe untuk membuat cermin kanta cembung dan cekung. Beliau mencipta kanta bagi membolehkan beliau membaca risalah ilmiah. Hal ini turut memberi inspirasi kepada saintis Barat dalam mewujudkan mikroskop dan teleskop. Teori kanta pembesar juga telah dicipta oleh beliau.


Bidang Astronomi

Antara tahun 1025 dan 1028, Ibn al-Haytham telah mengarang buku Al-Shuku ala Batlamyus (Doubts on Ptolemy) yang berisi kritikan beliau terhadap model alam semesta Ptolemy dalam Almagest yang menganggap semua planet bergerak mengelilingi bumi (model geosentrik). Selain itu, beliau juga berjaya melukis gerakan planet-planet, tidak hanya dalam terma eksentrik dan episiklus tetapi juga dalam satu model fizikal. Pendapat beliau juga telah berjaya mempengaruhi dunia Barat pada zaman Johannes Kepler yang menemukan bahawa orbit planet adalah dalam bentuk eklips bukannya bulatan.


Bidang Matematik

Dalam matematik, Ibn al-Haytham mengkaji karya matematik Euclid dan Thabit ibn Qurra. Sumbangannya terhadap matematik sangat luas. Beliau mengembangkan geometri analitik dengan mewujudkan hubungan antara algebra dan geometri. Salah satu pencapaian matematik penting Ibn al-Haytham adalah kajiannya yang melukis garis dari dua titik dalam satah pertemuan bulatan dan titik pada lilitan dan membuat sudut yang sama dengan normal pada titik itu, yang juga dinamakan sebagai Alhazen’s problem.


Rajah menunjukkan Alhaazen’s Problem


Selain itu, beliau turut memperkenalkan teori geometri yang dinamakan “Ibn al-Haytham-Lambert quadrilateral. Ilmu matematik Ibn al-Haytham terlalu luas skopnya. Beliau juga mengembangkan matematik daripada kajian fizik dan optiknya bagi menjelaskan konsep dan teori dengan kiraan yang jelas. Misalnya kiraan titik fokus atau focal point, pengiraan kelajuan cahaya pembiasan atau refleksi di dalam medium serta sudut pembiasan (cos, sin, tan).



Karya:

  1. Kitab al-Manazir (Book of Optics) – menjelaskan anatomi mata dan bagaimana ia dapat melihat

  2. Sharh Musadarat Kitab Uqlidis fi al-Usul (Commentary on the Premises of Euclid’s Elements) mengulas mengenai pandangan Euclid

  3. Maqālah fī Hayʾah al-ʿĀlam (On the Configuration of the World) – membahaskan tentang model geosentrik alam semesta

  4. Maqalah fi Istikhraj Samt al-Qiblah fi Jami’ al-Maskunah (Commentary on deriving the direction of the qiblah in the whole world) – mengupas tentang arah kiblat bagi segenap rantau

  5. Kitab fi al-Madkhal ila al-Umur al-Handasiyyah (Book on an Introduction to Geometrical Matters) – menjelaskan mengenai ilmu geometri

  6. Kitab al-Tahlil wa al-Tarkib (On the Analysis and Synthesis) – mengenai ilmu geometri

  7. Kitab Tahlil al-Masa’il al-’Adadiyah (Book concerning the analysis of the arithmetical problems ) – memperihalkan tentang algebra

  8. Maqalah fima Tad’u IlaYHI Hajah al-Umur al-Syari’ah (Commentary concerning that which is needed in Syari’ah matter) – menerangkan penggunaan geometri dalam urusan hukum syarak

  9. Kitab Al-Jami’ fi Usul al-Hisab (Comprehensive book on principles of arithmetic) – mengandungi teori-teori ilmu matematik

  10. Al-Shuku ‘ala Batlamyus (Doubts on Ptolemy) – kritikan terhadap model geosentrik Ptolemy


Fakta Menarik:

  • Antara yang dipengaruhi oleh hasil kerja dan kaedah Ibn al-Haytham ialah polimath Itali Leonardo da Vinci, ahli fizik Jerman Johannes Kepler dan saintis Inggeris Roger Bacon.

  • Ahli astronomi Poland, Johannes Hevelius memilih untuk memberi penghormatan kepada Ibn al-Haytham, dengan menganggapnya sebagai perintis kaedah saintifik rasional dalam karya agungnya Selenographia.

  • George Sarton menyatakan bahawa Ibn al-Haytham adalah ahli fizik Muslim dan sarjana dalam bidang optik terhebat sepanjang masa; “the greatest Muslim physicist and one of the greatest students of optics of all times“.

  • Beliau telah memberi ilham kepada cerdik pandai di Barat bagi menghasilkan filem dan seterusnya menghasilkan tayangan gambar.



Kesimpulannya, karya Ibn al-Haytham dalam memahami sifat cahaya menjadi asas kepada penemuan-penemuan yang datang selepasnya. Hasil kerja dan penemuan berkurun lama yang dilakukan dalam bidang optik telah mewujudkan dunia komunikasi dan media yang kita ada pada hari ini. Warisan Al-Haytham telah memberi impak kepada ramai pemikir hebat selepasnya selama berabad-abad lamanya, sama seperti semasa beliau belajar daripada ulama purba sebelumnya. Oleh itu, kita hendaklah mengambil contoh daripada ketokohan beliau bagi memastikan kita juga dapat menyumbang kepada agama, bangsa dan negara.


“If learning the truth is the scientist’s goal, then he must make himself the enemy of all that he reads.” - Ibn al-Haytham (965–1039)



 

Rujukan:

  1. Ishaq, U., & Daud, W. (2017). TINJAUAN BIOGRAFI-BIBLIOGRAFI IBN AL-HAYTHAM. HISTORIA : Jurnal Program Studi Pendidikan Sejarah, 5, 107. doi:10.24127/hj.v5i2.824

  2. Tbakhi, A., & Amr, S. S. (2007). Ibn Al-Haytham: father of modern optics. Annals of Saudi medicine, 27(6), 464–467. https://doi.org/10.5144/0256-4947.2007.464

  3. McQuaid, R. (2019). Ibn al-Haytham, the Arab who brought Greek optics into focus for Latin Europe. Adv Ophthalmol Vis Syst. 9(2). 44-51. DOI:10.15406/aovs.2019.09.00344

  4. Viktor Pogadev. (April 24, 2016). Sumbangan besar umat Islam bina tamadun dunia. BH Online. Dipetik daripada https://www.bharian.com.my/taxonomy/term/61/2016/04/146886/sumbangan-besar-umat-islam-bina-tamadun-dunia

  5. Google Arts & Culture. (t.t.). Ibn al-Haytham: The man who discovered how we see. Dipetik daripada https://artsandculture.google.com/story/ibn-al-haytham-the-man-who-discovered-how-we-see-1001-inventions/hAURHV4yqUlOLg?hl=en

  6. Smith, J. D. (1992). The Remarkable Ibn Al-Haytham. The Mathematical Gazette, 76(475), 189-98. Dipetik daripada doi:10.2307/3620392.



7 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page