top of page
Search
  • Writer's pictureTawasaw

Al-Jahiz, "Bapa Evolusi" dalam Dunia Biologi



Rajah: Ilustrasi gambaran wajah al-Jahiz (sumber)


Nama: Abū ʿUthman ʿAmr ibn Baḥr al-Kinānī al-Baṣrī

Gelaran: Al-Jahiz kerana rupa biji matanya yang seakan-akan tersembul daripada wajahnya.

Hayat: 776M, Basrah - 868M, Basrah, Iraq.

Bidang Sains: Biologi dan zoologi


Biografi Ringkas

Beliau berasal daripada sebuah keluarga yang miskin dari keturunan Ethiopia dan pernah mencari rezeki dengan menjual ikan. Datuknya merupakan seorang pengendali unta berkulit hitam. Minatnya dalam keunikan penggunaan bahasa telah mendorongnya untuk menceburi bidang prosa dan sastera, dan mengembangkan ilmu pengetahuan melalui penulisan. Beliau akhirnya diterima dan diiktiraf oleh para ilmuwan dan cendekiawan lain atas sumbangan, kebijaksanaan dan kecerdasannya serta dikatakan juga beliau cilik berjenaka dalam hasil tulisannya. Selain itu, al-Jahiz merupakan seorang pengikut aliran Mu'tazilah.


Meskipun lahir dan meninggal di Basrah, al-Jahiz tidak kekal menetap di negeri itu sahaja sepanjang hayatnya. Beliau telah bermusafir dan bermastautin di pelbagai tempat seperti Baghdad dan Samarra dengan tujuan meneroka dan mencari ilmu dan pengalaman. Perkembangannya sebagai seorang ilmuwan didorong lagi dengan galakan Khalifah Abbasiyah pada zaman keemasan Islam ketika itu yang meraikan suasana kegemilangan ilmu. Dalam tempoh tersebut, masanya telah didedikasikan kepada bidang sastera dan sains sehingga beliau berjaya menghasilkan lebih 200 buah karya meliputi pelbagai subjek dari al-Quran hinggalah kesusasteraan dan zoologi. Namun begitu, hanya 30 sahaja karyanya yang masih wujud pada hari ini. Menariknya, beliau dikenali sebagai The Father of Evolution dalam kalangan sebahagian saintis kerana membuka perbincangan teori evolusi lebih awal daripada Charles Darwin.


Sumbangan

Kitab al-Hayawan


● Daripada 200 buku yang dihasilkan, Kitab al-Hayawan adalah sebuah buku yang dianggap sebagai karya ulung beliau.


● Kitab al-Hayawan, juga dikenali sebagai The Book of Animals, merupakan kitab tulisan al-Jahiz yang meliputi bidang biologi dan zoologi. Kitab tersebut merupakan antara kitab yang terawal berkaitan binatang ditulis dalam bahasa Arab.


● Al-Jahiz bukan sahaja menerangkan sifat dan klasifikasi haiwan dan serangga, malah membuka perbincangan mengenai habitat dan tingkah laku binatang-binatang tertentu, rantaian makanan, hubungan dan komunikasi antara organisma yang berlainan, teori evolusi dan pelbagai lagi.


● Misalnya, beliau menceritakan berkenaan organisasi sosial dalam kehidupan semut dan kaedah mereka menyimpan bijian dalam sarang agar tidak rosak ketika musim hujan, tindak balas beberapa jenis serangga terhadap cahaya dan kaedah untuk menghalau nyamuk dan lalat, penyamaran beberapa jenis parasit untuk menyesuaikan diri dengan warna hos, serta pengaruh iklim dan gizi kepada manusia, tumbuhan dan haiwan di kawasan geografi yang berlainan.


● Dalam beberapa muka surat buku itu, beliau turut menggambarkan konsep sains yang biasanya berlainan dengan konsep yang dinyatakan oleh Charles Darwin.


● Karya al-Jahiz ini mempunyai 7 jilid. Setiap buku dalam siri Kitab al-Hayawan dikarang dengan lenggok bahasa yang indah, unik dan menarik perhatian, kerana al-Jahiz juga merupakan seorang sasterawan dan pakar/jurubahasa yang masyhur pada zamannya.


● Buku ini bukan sahaja menerangkan kepelbagaian lebih 350 ekor haiwan, malah ia juga mengandungi fakta sains semata, karangannya juga diselitkan dengan kisah-kisah daripada sejarah, anekdot-anekdot menarik, puisi dan lawak jenaka. Malangnya, kebanyakan daripada tulisan beliau ini hancur dimamah masa.


Penerangan dan ilustrasi buaya dalam Kitab al-Hayawan karangan al-Jahiz.

Sumber: © Veneranda Biblioteca Ambrosiana, Milan, Italy/Bridgeman Images



Ilustrasi burung unta dari Kitab al-Hayawan. (Sumber)



Ilustrasi kuda dari Kitab al-Hayawan. (Sumber)



Ilustrasi zirafah dari Kitab al-Hayawan.




Melalui kaca mata al-Jahiz, alam tabi’i merupakan tanda nyata bukti kekuasaan dan kehendak Tuhan. Lantaran itu, penulisan Kitab al-Hayawan bukanlah sekadar untuk hiburan, akan tetapi untuk menggalakkan pembaca mengamati dan menghargai alam ciptaan sebagai manifestasi kekuasaan Allah yang Maha Esa. Semoga perkongsian kali ini memberi semangat kepada kita untuk mendalami setiap ilmu yang dipelajari😆


“The book is silent as long as you need silence, eloquent whenever you want discourse. He never interrupts you if you are engaged but if you feel lonely he will be a good companion. He is a friend who never deceives or falters you, and he is a companion who does not grow tired of you.” Al-Jahiz
 

Rujukan:

8 views0 comments

Recent Posts

See All

Comentários


bottom of page