top of page
Search
  • Writer's pictureTawasaw

Al-Zarqali, Ahli Astronomi Islam

Updated: Jun 13, 2022




Pada abad ke-16, Galileo menggunakan jam air untuk menentukan masa dalam eksperimen. Tapi tahukah anda, siapakah sebenarnya yang pertama menciptakan alat tersebut??? Ya, tidak lain dan tidak bukan, beliau ialah seorang saintis dan ahli astronomi Islam iaitu Al-Zarqali. Sebelum tu, mari kita kenal dulu siapakah Al-Zarqali.


Nama: Abu Ishaq Ibrahim Ibn Yahya al-Zarqali

Lahir: Dilahirkan pada tahun 1029M di Toledo, Andalusia dan meninggal dunia pada tahun 1087M

Bidang: Astronomi dan matematik


Al-Zarqali berketurunan bangsa Arab Sepanyol dan beliau juga dikenali sebagai Arzachel dalam bahasa Latin.


Antara hasil ciptaannya:

1. Jam air


Pada tahun 1050 M, beliau telah mencipta satu jam air yang besar di Toledo. Fungsinya adalah mampu menentukan jam siang dan malam dan menunjukkan hari bulan lunar. Ia membentuk kalendar bulan yang sangat tepat dan merupakan jam atau peranti kalendar planet yang paling awal diciptakan sebelum ia menjadi barang gayaan di Eropah pada abad ke-17. Jam tersebut terdiri daripada dua bekas air yang akan diisi atau dikosongkan dengan air mengikut keadaan bulan dari berbentuk sabit sehingga bulan penuh 31. Jika bulan penuh, maka kedua-dua bekas ini akan penuh dan mula berkurangan selepas 15 hari bulan dan akan kosong sepenuhnya apabila mencecah malam ke-29.

2. Equatorium


Equatorium merupakan sebuah alat dalam astronomi. Alat ini digunakan untuk menentukan longitud jasad samawi seperti bulan, matahari dan planet-planet di angkasa pada satu-satu masa menggunakan model geometri. Pergerakan jasad samawi melalui khatulistiwa dapat ditunjukkan dengan menggunakan equatorium. Penerangan pertama mengenai equatorium yang masih wujud adalah daripada Libros del Saber de astronomia. Ia dijalankan di bawah naungan Alfonso X dari Castille yang mendasarkan fakta mereka pada terjemahan dua teks Arab abad ke-11 mengenai khatulistiwa karya Ibn al-Samh dan Al-Zarqali. Hasil sumbangan ciptaan Equatorium al-Zarqali inilah yang membolehkan sistem satelit berputar mengelilingi bumi pada hari ini.


3. Astrolab

Beliau juga mencipta Astrolab yang bernama Saphea Arzachelis atau al-Safiha al-Zarqaliya yang bersifat universal latitude-independent, yang tidak bergantung pada garis lintang pencerapnya. Sama juga fungsi seperti Astrolab lain yang pernah dicipta sebelum itu iaitu untuk menentukan kedudukan matahari dan bintang di cakerawala. Namun, astrolab ciptaan al-Zarqali lebih canggih dan tepat pada waktu itu.


Gambar rajah sumber daripada Australasian Muslim Times : Astrolab Saphea Arzachelis yang dicipta oleh Al-Zarqali untuk kaedah pencerapan astronomi.


Bukan itu sahaja, sumbangan terpenting al-Zarqali dalam bidang astronomi turut penting untuk kita hayati. Antara sumbangannya:


1. Jadual Toledo

Zarqali turut dikenali dengan hasil ciptaan Toledan Tables atau Jadual Toledo dan menyumbang kajian dan data-data koordinat kedudukan bintang, bulan dan planet dalam penciptaan Jadual Toledo. Jadual Toledo adalah hasil himpunan pemerhatian beliau semasa beliau berada di Toledo. Ia merupakan jadual astronomi yang digunakan untuk meramal kedudukan Matahari, Bulan dan planet-planet lain relatif kepada bintang tetap. Dalam jadual itu, beliau telah membuat pembetulan bagi sebahagian data geografi daripada Ptolemy dan al-Khawarizmi. Kedua-dua tokoh tersebut sangat dikenali bagi sumbangan mereka dalam bidang astronomi dan matematik. Untuk lebih spesifik, al-Zarqali telah membuat sedikit pembetulan bagi hasil kerja Ptolemy dalam anggaran panjang Laut Mediterranean.



2. Pergerakan Aphelion


  • Tokoh astronomi yang pertama yang menjelaskan secara terperinci tentang pergerakan matahari yang menjauhi bumi (Aphelion)

  • Aphelion adalah titik pada orbit planet yang paling jauh daripada matahari.Hasil daripada pemerhatian beliau selama 25 tahun, beliau menetapkan pergerakan apogee matahari sebagai 1° bagi setiap 299 tahun biasa iaitu bersamaan dengan 12.04″ setahun.

  • Hal ini juga membuktikan bahawa orbit planet adalah berbentuk elips atau lonjong dan bukannya bulat. Kajian-kajian yang dibuat beliau telah menjadi rujukan oleh Nicolaus Copernicus dalam mentafsirkan matahari sebagai pusat sistem solar dalam tesisnya "De Revolutionibus Orbium Celestium”.


Fakta menarik:

Al-Zarqali diberi nama keluarga 'Al-Nekkach', iaitu pengukir logam. Menurut sejarah yang telah ditetapkan, beliau merupakan seorang mekanik dan tukang logam yang sangat mahir. Beliau merupakan seorang pembuat instrumen dalam perkhidmatan Cadi Ibn Said dari Toledo. Beliau mula mencipta instrumen halus yang diperlukan untuk kegunaan pemerhatian astronomi yang bermula pada 1060 M oleh Yahya Ibn Abi Mansur.



Karya Utama Al-Zarqali:

  • Almanak Al-Zarqali

  • “Tratado Relativo Al Inovilniento De Las Estrellas Fijas”



Semoga kejayaan dan sumbangan yang dihasilkan oleh al-Zarqali ini dapat dijadikan sebagai inspirasi kepada kita.

 

Rujukan:

  1. Puig, Roser. "Zarqālī: Abū Ishāq Ibrāhīm Ibn Yahyā Al‐Naqqāsh Al‐Tujībī Al‐Zarqālī." In The Biographical Encyclopedia of Astronomers, edited by Thomas Hockey, Virginia Trimble, Thomas R. Williams, Katherine Bracher, Richard A. Jarrell, Jordan D.Marché, F. Jamil Ragep, JoAnn Palmeri and Marvin Bolt, 1258-60. New York, NY: Springer New York, 2007.

  2. Ushama, Imama Karim Manba dan Kabbashi, Nassereldeen Ahmed. “Al-Zarqali on instrumentation.” Dalam Contributions of Early Muslim Scientists to Engineering Studies and Related Sciences, disunting oleh Shuriye, Abdi O., dan Faris, Walid F, 19-23. Kuala Lumpur: IIUM Press, 2011.

  3. Vernet, J. “Al-Zarqali”. Dalam Dictionary of Scientific Biography 14, 592-95. New York: Charles Scribners’ Sons, 1970-80.

  4. https://www.amust.com.au/2018/05/al-zarqali-astronomer-and-inventor-of-clocks/











26 views0 comments

Recent Posts

See All

Comentários


bottom of page